Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi

  • PDF
Saiz Teks:

Pengenalan

Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (JTMK) merupakan salah sebuah jabatan akademik utama di Politeknik Mukah Sarawak. Penubuhannya adalah selari dengan permulaan operasi PMU di mana pengambilan kumpulan pelajar pertama yang terdiri dari pelajar kursus Sijil Teknologi Maklumat memulakan sesi pengajian pada Julai 2005.

JTMK menawarkan program di dalam bidang teknologi maklumat & komunikasi (ICT) bagi menampung permintaan tinggi di dalam bidang ICT semasa. Program yang ditawarkan adalah;

  • Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) (DIP)
  • Diploma Teknologi Maklumat (Rangkaian) (DNS)
  • Diploma Teknologi Digital (DDT)

Program

Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) - (DIP)

Program ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Kursus ini menawarkan modul-modul pengkhususan dalam bidang teknologi maklumat seperti Asas Pengaturcaraan, Perisian Aplikasi, Teknologi Perkakasan Komputer, Sistem Digit, Pengaturcaraan Visual Basic, Aplikasi Pangkalan Data, Sistem Pengoperasian, Rangkaian Komputer, Rekabentuk & Analisa Sistem, Pengaturcaraan C++, Keusahawanan Siber, Pengaturcaraan Java Interaktif, Aplikasi Multimedia, Sistem Pangkalan Data, Pengaturcaraan Java, Keselamatan Rangkaian, Struktur Data, Pengarangan Web, Pengaturcaraan Web, dan Projek. Modul-modul elektif seperti Prinsip Mikro Pemproses, Pemasaran di Dalam Teknologi Maklumat, Audio Video Digital, Penerbitan Desktop dan Analisis Statistik juga ditawarkan sebagai pilihan kepada pelajar. Pelajar yang berjaya menamatkan program ini berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Pembantu Juru Analisa Sistem, Juruteknik, Pengaturcara, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat dan lain-lain kerjaya di dalam bidang IT. Lulusan program ini juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang teknologi maklumat.

Diploma Teknologi Maklumat (Rangkaian) - (DNS)

Program ini memberi kemahiran di dalam bidang teknologi maklumat dengan pengkhususan di dalam rangkaian komputer. Pelajar akan menjalani kuliah, sesi amali, tugasan, projek serta turut dikehendaki membuat penilaian secara atas talian untuk modul-modul tertentu, selain menjalani latihan di industri. Antara kursus yang perlu diikuti oleh pelajar sepanjang pengajian adalah seperti Matematik I dan II, Prinsip Pengaturcaraan, Aplikasi Komputer, Perkakasan Komputer, Logik Digital, Asas Pengaturcaraan Dengan C++, Asas Sistem Pengoperasian, Asas Rangkaian, Sistem Pengoperasian Sumber Terbuka, Pengaturcaraan Berasaskan Objek, Sistem Pangkalan Data, Perkhidmatan Internet, Keusahawanan Siber, Analisis dan Rekabentuk Projek, Switching & Routing, Pengurusan Pelayan, Pengaturcaraan Visual Basic.Net, Rekabentuk Rangkaian, Keselamatan Rangkaian dan Projek Rangkaian. Selain kursus-kursus teras, pelajar juga ditawarkan untuk mengambil kursus elektif seperti Telekomunikasi dan Senibina Komputer. Graduan yang berjaya menamatkan program ini berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda di dalam bidang teknologi maklumat selain menceburi kerjaya sebagai Juruteknik Rangkaian, Pembantu Pentadbir Rangkaian, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat dan lain-lain kerjaya di dalam bidang IT.

Fasiliti

Dari segi fasiliti fizikal, JTMK memilliki kemudahan dan fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang terkini.

Antara kemudahan dan fasiliti di JTMK adalah seperti;

  • 1 Dewan Kuliah Mini (Kapasiti 200 pelajar)
  • 17 bilik kelas
  • 6 Makmal Pembangunan Aplikasi
  • 2 Makmal Rangkaian dan Komunikasi
  • 2 Makmal Sistem Komputer dan Digital
  • 3 Makmal Hypermedia
  • 4 Makmal Teknologi Maklumat
  • 2 Bilik Projek
  • 1 Bilik Persembahan

Kali terakhir dikemaskini Khamis, 16 Mac 2017 14:34