Unit Peperiksaan

  • PDF
Saiz Teks:

Pengenalan


Unit Peperiksaan Politeknik Mukah Sarawak terletak di Aras 2 Bangunan Pentadbiran PMU. Unit ini berperanan menyelaras, menyelia, memantau, membantu dan memudahkan pengurusan berkaitan peperiksaan di setiap Jabatan Akademik. Unit Peperiksaan Politeknik Mukah Sarawak diketuai oleh Pegawai Peperiksaan (DH41) dengan dibantu oleh seorang Penolong Pegawai Tadbir (N27), seorang Pembantu Tadbir (N17) dan seorang Pembantu Am Pejabat (N1) . Pegawai Peperiksaan juga dibantu oleh sekurang-kurangnya dua orang Penyelaras Peperiksaan Jabatan (PPJ) yang telah dilantik dari setiap Jabatan Akademik Induk Dan Jabatan Sokongan yang masing-masing berperanan menguruskan perkara-perkara berkaitan dengan penilaian, data, bank soalan dan pensijilan. Penyelaras Peperiksaan Jabatan bagi setiap jabatan akan berada di bawah Ketua Penyelaras Peperiksaan Jabatan merujuk kepada carta organisasi jabatan masing-masing.

Tugas Pegawai Peperiksaan adalah bertanggungjawab mengawasi secara keseluruhan perjalanan peperiksaan politeknik sementara Penyelaras Peperiksaan adalah bertanggungjawab menguruskan hal - hal peperiksaan untuk jabatan masing - masing.

Unit Peperiksaan dilengkapi khas dengan peralatan-peralatan seperti komputer, mesin cetak, dan sebuah bilik keselamatan (kebal) khas untuk menyimpan kertas- kertas soalan peperiksaan akhir.

 

 

Fungsi


Unit Peperiksaan bertanggungjawab untuk;

  • Menyedia, mendokumen dan menyerahkan senarai nama pelajar yang tamat pengajian untuk diperakukan oleh Lembaga Peperiksaan dan Penganugerahan Sijil/Diploma Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
  • Menyediakan statistik peperiksaan akhir semester bagi rujukan Sektor Pengurusan Politeknik dan pengurusan Politeknik Mukah Sarawak.
  • Menyediakan sijil/diploma pelajar yang telah tamat pengajian setelah memenuhi keperluan program.
  • Menyedia, memproses dan mengeluarkan keputusan peperiksaan semester akhir pelajar mengikut tempoh yang telah ditetapkan dalam dokumen ISO.
  • Melaksana, menyelaras dan mengemaskini perubahan baru dalam peperiksaan politeknik dari semasa ke semasa merujuk kepada keperluan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Sektor Pengurusan Politeknik.
  • Melaksana dan mengemaskini proses penilaian dan peperiksaan merujuk kepada Panduan Peperiksaan dan Kaedah Penilaian Politeknik
  • Melaksana, menyelaras dan memantau peraturan penilaian peperiksaan yang sedang dijalankan oleh jabatan.
  • Melaksanakan sistem pengurusan soalan peperiksaan dengan mewujudkan bank soalan berpandukan kepada proses kendalian yang didokumenkan dalam buku Garispanduan dan Prosedur Pelaksanaan Bank Soalan oleh Bahagian Peperiksaan dan Penilaian, Sektor Pengurusan Politeknik.
  • Menyediakan arkib bagi data graduan politeknik.
  • Mengurus, mendokumen dan merekodkan perkara yang berkaitan peperiksaan.

 

 

Fasiliti


Bagi memenuhi keperluan dan pengurusan peperiksaan, Unit Peperiksaan memiliki fasiliti berikut;

  • Bilik Komputer
  • Bilik Kebal
  • Bilik Cetak
  • Bilik Mesyuarat
  • Surau

 

 

Aktiviti Penilaian & Peperiksaan


Proses pengajaran dan pembelajaran di politeknik merangkumi aktiviti penilaian yang melibatkan Penilaian Berterusan (PB) dan Penilaian Akhir (PA). Bagi aktiviti Penilaian Berterusan ianya dilaksanakan sepanjang semester pengajian bermula dari minggu pertama semester  sehingga minggu ke lapan belas.

Penilaian Akhir akan dilaksanakan pada Peperiksaan Akhir Semester yang dijalankan dua kali setahun pada setiap hujung semester iaitu pada setiap minggu ke sembilan belas dan dua puluh tiap-tiap semester. Setiap keputusan peperiksaan   akan dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli - Ahli Jawatankuasa Peperiksaan Politeknik yang dipengerusikan oleh Pengarah Politeknik Mukah Sarawak.  Ahli - ahli jawatankuasa yang lain terdiri daripada Pegawai Peperiksaan, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua unit yang dilantik oleh Pengarah.  Walaubagaimanapun pengesahan keputusan muktamad Peperiksaan Akhir adalah tertakluk kepada Lembaga Peperiksaan dan Penganugerahan Sijil/Diploma Politeknik Malaysia.

Semua  aktiviti peperiksaan yang dilaksanakan bagi sepanjang semester dan sepanjang tahun adalah merujuk kepada Takwim Aktiviti-aktiviti Peperiksaan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Keselarasan Peperiksaan Politeknik KPTM.

 

 

Kaedah Penilaian


Kaedah penilaian dan peperiksaan yang dilaksanakan dalam sistem peperiksaan politeknik KPTM adalah tertakluk kepada Arahan-arahan Peperiksaan dan Kaedah Penilaian yang dikeluarkan oleh Bahagian Peperiksaan Dan Penilaian, Sektor Pengurusan Politeknik KPTM. Semua kursus akan dinilai secara berterusan sebelum Peperiksaan Akhir Semester bermula. Kursus Am dan kursus-kursus yang tidak melibatkan Peperiksaan Akhir akan dinilai secara 100% Penilaian Berterusan (PB). Kursus yang melibatkan Peperiksaan Akhir akan dinilai berdasarkan kepada 50% Penilaian Berterusan (PB) dan 50% Peperiksaan Akhir (PA).


Bagi pelajar yang telah menerima keputusan peperiksaan akhir semester pada tarikh keputusan rasmi, pelajar-pelajar ini akan mempunyai status kelulusan tertentu yang telah dikodkan. Contohnya pelajar-pelajar yang mempunyai kod keputusan peperiksaan akhir semester dengan Kedudukan Baik (KB) dan Kedudukan Bersyarat (KS), maka pelajar-pelajar ini boleh meneruskan pengajian seperti biasa pada semester hadapan.


Jika pelajar gagal setelah membawa kursus kali pertama pelajar boleh diberi peluang untuk mendudukinya buat kali kedua. Pelajar hanya dibenarkan untuk menduduki sesuatu kursus kepada maksimum tiga kali sahaja. Jika gagal kursus yang sama lebih dari tiga kali maka pelajar akan mendapat keputusan Gagal Diberhentikan (GB) dari pengajian.  Pelajar yang membawa kursus dibenarkan untuk meneruskan pengajian ke semester berikutnya tetapi mesti tiada pertindihan jadual waktu dengan  kursus yang didudukinya pada semester semasa.  Jika berlaku pertindihan, maka kursus semasa hendaklah ditunda kepada semester berikutnya.

  • Sistem Nilaian Mata
Sistem penilaian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia adalah berdasarkan kaedah penilaian kuantitatif prestasi pelajar di dalam sesuatu kursus dan dikenali sebagai Sistem Nilaian Mata (SNM). Mengikut sistem ini, prestasi pelajar bagi sesuatu kursus dibahagikan kepada beberapa kumpulan markah atau gred. Satu ukuran prestasi akan digunakan bagi menetapkan Purata Nilaian Mata (PNM) atau Grade Point Average (GPA) dan Himpunan Purata Nilaian Mata (HPNM) atau Cumulative Grade Point Average (CGPA). PNM menunjukkan prestasi pelajar bagi semester semasa manakala HPNM pula menunjukkan prestasi pelajar di dalam beberapa semester sehingga kini.
 
  • Sistem Gred
Markah yang diperolehi oleh pelajar di dalam sesuatu kursus akan diberi nilai mata dan gred mengikut kumpulan seperti jadual di bawah.
MARKAH
NILAI MATA
GRED
STATUS
80-100 4.00 A LULUS
75-79 3.67 A- LULUS
70-74 3.33 B+ LULUS
65-69 3.00 B LULUS
60-64 2.67 B- LULUS
55-59 2.33 C+ LULUS
50-54 2.00 C LULUS
47-49 1.67 D GAGAL
44-46 1.33 D- GAGAL
40-43 1.00 E+ GAGAL
30-39 0.67 E GAGAL
20-29 0.33 E- GAGAL
0-19 0.00 F GAGAL

 

  • Peraturan Am dan Kaedah Penilaian
Pelajar hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut sebelum layak untuk dinilai prestasi akademiknya:
  1. Telah mendaftar pengajian;
  2. Telah mendaftar kursus berkenaan; dan
  3. Telah mencapai tahap kehadiran 80% seperti yang ditetapkan bagi aktiviti pembelajaran yang diwajibkan bagi sesuatu kursus.

Jika seseorang pelajar itu tidak memenuhi syarat-syarat di atas:
  1. Pelajar itu tidak layak menduduki peperiksaan akhir; dan
  2. Pelajar akan diberi Gred F dengan Nilai Mata 0.00 bagi kursus berkenaan; dan
  3. Pelajar dianggap telah mengambil dan gagal kursus berkenaan.
 
Kali terakhir dikemaskini Khamis, 31 Mei 2012 09:20