Motivation Boost 3.0 Bagi Sesi Jun 2019

Pada 21 September 2019 yang lepas, Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (JTMK), Politeknik Mukah telah menganjurkan program Motivation Boost 3.0 bagi sesi Jun 2019. Program ini merupakan program susulan selepas kejayaan program Motivation Boost 2.0 yang telah dilaksanakan pada semester yang lepas di bawah kelolaan Penyelaras Bimbingan & Kaunseling Jabatan (PBKJ), Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi. Secara amnya, program ini bertujuan membantu dalam menaikkan kembali semangat belajar mahupun sahsiah diri yang semakin berkurangan di kalangan para pelajar. Selain itu, melalui program ini pihak penganjur berhasrat untuk menghasilkan lebih ramai pelajar yang mempunyai kemampuan, kebolehan, daya tahan dan daya juang yang tinggi. Salah satu cara untuk memastikan pelajar memiliki ciri-ciri tersebut, penerapan nilai-nilai murni dan motivasi diri menjadi agenda utama. Oleh yang demikian, penganjuran program Motivation Boost 3.0 adalah sebagai platform untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada para pelajar agar mampu memperbaiki dan meningkatkan mutu pembelajaran serta sahsiah diri mereka. Sasaran peserta bagi program ini adalah khusus kepada para pelajar Semester 3 hingga Semester 6 yang memperolehi PNM di antara 1.0 hingga 2.00. Seramai 30 orang peserta telah berjaya menyertai program ini.  Program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh penceramah yang dijemput khas iaitu Cik Syuriani Binti Osman Sukarno, guru berpengalaman dari SK Bintang Jaya, Miri. Penganjuran kali ini diadakan di Bilik TECC, Unit Pembangunan Instruksional & Multimedia, PMU yang cukup kondusif untuk memberi persekitaran yang positif kepada para peserta program. Semoga dengan adanya program seperti ini, dapat dimanfaatkan oleh para pelajar sebaiknya. Maju JTMK ke arah PMU gemilang.

Gambar-gambar sepanjang program berlangsung.