Pmu Akan Lahirkan Pemain Petanque Terbaik Mukah

MUKAH : Pembudayaan sukan dikalangan komuniti Politeknik Mukah disemarakkan dengan penganjuran Kursus Asas Sukan Petanque yang disertai oleh 30 orang kakitangan dan pelajar Politeknik Mukah pada 5 dan 6 Oktober 2019. Kursus yang menerapkan aspek teori dan praktikal ini telah berjaya memupuk minat pesertanya untuk terus bergiat aktif dalam sukan ini.

Kursus anjuran Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan Politeknik Mukah adalah langkah awal untuk menyiapkan pasukan petanque Politeknik Mukah untuk bertanding di pertandingan dan kejohanan luar pada masa hadapan.  Selain itu, turut diterapkan kepada para peserta adalah pengenalan asas,  kemahiran aspek teknikal, peraturan dan urus tadbir sukan ini.  Encik Mastapha bin Majid, jurulatih petanque dari Majlis Sukan Negeri Sarawak telah dijemput untuk memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman beliau sepanjang 2 hari kursus ini berlangsung.

Diharapkan dengan kejayaan penganjuran kursus ini, akan lahir pemain petanque dari kalangan komuniti Politeknik Mukah yang akan berkecimpung di peringkat yang lebih tinggi dalam sukan ini kelak sekaligus mengharumkan nama Politeknik Mukah dalam arena petanque negara.