Pmu Penguins Dan Pmu Falcons Juara Edisi Sulung Mukah Rugby Super 3 2019

MUKAH : Politeknik Mukah mengesahkan sebagai pasukan ragbi gergasi Bahagian Mukah untuk tahun 2019 setelah menggondol kedua-dua kategori lelaki 15 sepasukan dan wanita 10 sepasukan Kejohanan Mukah Rugby Super 3 2019 yang berlangsung pada 5 Oktober 2019 di Padang Ragbi Politeknik Mukah. Kejohanan bersempena dengan Sambutan Bulan Sukan Negara ini yang julung kali diadakan ini melibatkan tiga pasukan lelaki iaitu PMU Penguins, UiTM Mukah dan Setia Raja Swiflet Rugby Club manakala bagi kategori 10 sebelah wanita melibatkan pasukan PMU Falcons dan UiTM Mukah.

Pasukan ragbi lelaki PMU Penguins dinobatkan sebagai juara setelah memenangi kesemua perlawanan dengan menewaskan UiTM Mukah dengan 25-7 dan seterusnya meneruskan kehebatan dengan mengatasi Setia Raja Swiflet Rugby Club dengan 24-15. Pasukan Setia Raja Swiflet Rugby Club sekadar berpuas hati menjadi naib juara dengan hanya meraih satu kemenangan menewaskan UiTM Mukah dengan kiraan mata 22-12.

Kecemerlangan pasukan ragbi lelaki Politeknik Mukah turut diteruskan oleh pasukan wanita PMU Falcons dengan membenam cabaran UiTM Mukah dengan dua kemenangan berturut-turut 22-0 dan 10-5. Lebih manis lagi kedua-dua pemain dari Politeknik Mukah iaitu Damasus anak Mandi dan Andriana Duya anak Anderson dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan ini.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Iskandar bin Reduan, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Politeknik Mukah dan beliau berharap agar kejohanan seumpama ini dapat dilaksanakan lagi pada tahun mendatang menjadi platform dalam mencungkil bakat-bakat dalam sukan ragbi dari Bahagian Mukah untuk diperkembangkan di peringkat lebih tinggi.